Friday, 22 June 2012

Ekonomi : PETRONAS meterai tiga kontrak RM17b

PETRONAS meterai tiga kontrak RM17b
Oleh Mahanum Abdul Aziz
mahanum@bharian.com.my
2012/06/22

pix_gal0
Laksana projek pembangunan gas bersepadu di North Malay Basin

PETRONAS memeterai tiga kontrak utama dengan Petronas Carigali Sdn Bhd dan Hess Exploration and Production Malaysia BV bagi melaksanakan projek pembangunan gas bersepadu baru, North Malay Basin yang bernilai AS$5.2 bilion (RM16.64 bilion).
Kontrak pertama membabitkan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) yang dipinda bagi blok luar pesisir PM302, manakala dua lagi adalah bagi PSC penerokaan baru untuk Blok PM325 dan PM326B yang terletak bersebelahan Blok PM302.
Ketiga-tiga PSC itu berdasarkan pegangan ekuiti 50:50 antara Petronas Carigali dan Hess Exploration, sebuah syarikat penerokaan gas dan minyak berpangkalan di Amerika Syarikat.

PETRONAS dalam kenyataannya semalam berkata, projek yang terletak kira-kira 300 kilometer dari pantai kawasan Pantai Timur Semenanjung itu bakal menyaksikan pembangunan dan pengkomersialan rangkaian sembilan medan gas berserta pembangunan hab pengumpulan gas, pemprosesan dan pengangkutan baru.

Jelasnya, ia akan membabitkan pembinaan saluran paip sepanjang 300 kilometer dan sebuah peralatan pengasingan daratan baru, yang antara lain mengandungi sebuah sistem penyingkiran gas berasid menggunakan teknologi membran untuk menyingkirkan gas berasid, yang akan dimiliki bersama PETRONAS, iaitu yang pertama seumpamanya akan digunakan di darat.

Katanya, projek itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu fasa Sistem Pengeluaran Awal (EPS) diikuti oleh fasa Pembangunan Penuh Medan (FFD). 
“Pengeluaran gas pertama berjumlah 100 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) di bawah fasa EPS disasarkan diperoleh pada suku pertama 2013, manakala fasa FFD yang menghasilkan sekitar 300 mmscfd akan bermula suku kedua 2015,” jelasnya.

PETRONAS menjelaskan, pelaburan AS$5.2 bilion bagi projek North Malay Basin itu akan dilaburkan secara berperingkat mengikut fasa dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ia akan mengkomersialkan sekitar 1.7 trilion kaki padu standard rizab gas dari kawasan berkenaan, katanya.

Ia berkata, projek North Malay Basin itu adalah sebahagian usahanya, termasuk pelbagai inisiatif mempertingkatkan penemuan bagi meningkatkan jaminan bekalan gas di negara ini.

PSC itu ditandatangani di Kuala Lumpur kelmarin dengan PETRONAS diwakili Pengarahnya, Datuk Wee Yiaw Hin; Petronas Carigali oleh Pengarahnya, Effendy Cheng Abdullah, manakala Hess Exploration oleh Presidennya Greg Hill.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas serta Pengerusi dan Ketua Eksekutif Hess Cor-poration, John B Hess.

No comments:

Post a Comment